25 Julai, 2010

Imbuhan MeN...i

Pembentukan Imbuhan MeN...i.

Imbuhan MeN...i juga terbentuk daripada beberapa kelas kata dasar dan membawa makna yang tertentu.

Kata Dasar Imbuhan MeN...i

Pagar Memagari = Meletakkan sesuatu

(kata Nama) sebagai pagar

Pukul Memukuli = Melakukan perbuatan

(kata kerja) berkali = kali pada objek

Duduk = Menduduki Melakukan perbuatan

(kata kerja) pada objek

Kirim = Mengirimi Menyebabkan objek

(kata kerja) menerima sesuatu

Contoh

1. Dia akan mengirimi bapanya sepucuk surat pada setiap bulan.

2. Jepun telah menduduki Tanah Melayu selama lebih kurang empat tahun.

3. Dia memukuli lembu yang memasuki kebunnya dengan sebatang kayu.

Analisis

Dalam ketiga-tiga ayat di atas, semua objek kena secara tidak langsung. Objek-objek tersebut menerima sesuatu daripada perbuatan yang dilakukan oleh pelaku. Contohnya dalam ayat (1) ‘bapa’ sebagai objek tepat menerima surat bukannya benda yang dikirimkan kepada seseorang.

Maksud Imbuhan MeN...i

Secara umum, imbuhan apitan MeN...i, menunjukkan maksud objek tepat menerima sesuatu daripada pelaku perbuatan, manakala benda yang diterima daripada perbuatan itu dinyatakan sebagai objek sipi.

Maksud ayat juga menunjukkan bahawa objek tepat tidak bergerak tetapi objek sipi yang bergerak menuju ke arah objek tepat.

Contoh

1. Petani itu memagari ladangnya dengan kawat berduri.

2. Orang tua itu memukuli anaknya dengan sebatang tongkat.

3. Dia menghadiahi isterinya seutas rantai mutiara.

4. Kanak-kanak membalingi rakannya dengan sebiji bola.

5. Sultan Selangor telah berkenan mengurniai ahli sukan itu bintang kebesaran sempena Hari Keputeraan baginda.

Bandingkan ketiga-tiga ayat yang menerima apitan MeN...i dengan ayat-ayat yang menerima apitan MeN...kan seperti yang telah dibincangkan.

Terdapat juga apitan MeN...i menunjukkan maksud perbuatan yang berulang-ulang dilakukan ke atas objek tepat.

Teliti ayat (2) yang menunjukkan maksud anaknya menerima pukulan berulang kali. Dalam konteks ayat (1), (3), (4) dan (5) ladangnya menerima kawat berduri, isterinya menerima rantai mutiara, rakannya menerima balingan dan ahli sukan menerima kurniaan.

Perbezaan Makna Dalam Imbuhan MeN...kan dan
Imbuhan MeN...i

Sekiranya pelajar meneliti pembentukan kedua-dua imbuhan tersebut, pelajar akan mendapati terdapat perbezaan yang ketara di antara kedua-dua imbuhan itu.

Perbezaan yang paling ketara ialah apabila kedua-dua imbuhan apitan ini menggunakan kata dasar yang sama dan menerima dua objek iaitu objek tepat dan objek sipi. Lihat contoh ayat berikut untuk pemahaman yang lebih jelas.

Contoh

1. Amin melontarkan sepotong kayu ke arah lembu itu.

(objek tepat) (objek sipi)

2. Amin melontari lembu itu dengan sepotong kayu.

(objek tepat) (objek sipi)

3. Amin membacakan adiknya buku cerita itu.

(objek tepat) (objek sipi)

4. Amin membaca buku cerita itu untuk adiknya.

(objek tepat) (objek sipi)

Ulasan ringkas

Ayat (1) dan (2) menggunakan kata dasar yang sama iaitu lontar (kata kerja) tetapi menggunakan apitan yang berbeza. Oleh itu pembentukan objek dan maknanya juga berbeza. Perkataan melontarkan menunjukkan maksud sepotong kayu sebagai objek tepat menjadi alat atau bahan yang digunakan untuk melakukan perbuatan. Manakala perkataan melontari menunjukkan maksud lembu itu sebagai objek, menjadi penerima perbuatan melontari. Oleh itu jika ayat (1) menerima apitan MeN...kan, maksudnya menunjukkan lembu itu menjadi alat atau bahan untuk perbuatan melontar, ini pasti mustahil kerana tidak mungkin Amin mampu mengangkat lembu itu dan melontarkannya.

Rumusan

Kekeliruan yang kerap berlaku dalam kalangan pelajar dari segi pembentukan kedua-dua apitan tersebut disebabkan para pelajar kurang memahami maksud perkataan yang digunakan dan kekeliruan membezakan objek tepat dan objek sipi. Oleh itu, para pelajar perlu meneliti imbuhan apitan MeN...kan dan MeN...i dengan meneliti kesesuaian maksud ayat dengan penggunaan objek tepat dan objek sipi yang dinyatakan dalam ayat.

Para pelajar juga perlu meneliti logik ayat dari segi maksud sama ada sesuai atau tidak.

Sumber

http://azmisron63.blogspot.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan