31 Disember, 2009

Morfem

Morfem

Morfem ialah unit terkecil yang menjadi unsur perkataan. Sekiranya kata tidak boleh dipecahkan kepada unit bermakna atau nahu yang lebih kecil, maka kata-kata ini terdiri daripada satu unit atau satu morfem. Misalnya minum. Minum tidak akan berfungsi dan memberi makna jika dipecahkan kepada mi dan num. Sebaliknya, kata diminum boleh dipecahkan kepada dua morfem, iaitu di dan minum.Kesimpulannya, perkataan boleh terdiri daripada beberapa morfem.


Jenis-jenis morfem

Morfem dapat dibahagikan kepada dua iaitu morfem bebas dan morfem terikat

Morfem bebas

Morfem terikat/imbuhan

1. Dapat berdiri sendiri, misalnya, minum, cuti, sekolah, periksa

2. Mempunyai makna sendiri

1. Bentuk imbuhan, misalnya, mem, per, kan, ber

2. Tidak mempunyai makna, tapi mempunyai fungsi tatabahasa atau nahu. Boleh mengubah makna sesuatu kata, dan seterusnya makna ayat.

Morfem terikat/imbuhan

Awalan - ditambah pada bahagian depan kata dasar - cthnya, membaca, menghafal.

Akhiran - ditambahkan pada bahagian belakang kata dasar- cthnya simpankan

Sisipan - diselitkan di antara unsur-unsur kata dasar - misalnya, telapak (tapak).

Apitan - ditambahkan serentak pada awalan dan akhiran kata dasar. Misalnya, imbuhan per……..an, permainan.

28 Disember, 2009

Bentuk Kata

Proses pembentukan kata menghasilkan bentuk kata tunggal, bentuk kata terbitan, bentuk kata majmuk dan bentuk kata ganda.

Kata Tunggal

Bentuk kata tunggal ialah bentuk kata yang terdiri daripada hanya satu bentuk kata dasar yakni tidak menerima apa-apa bentuk imbuhan atau kata dasar lain. Kebanyakan kata tunggal dalam Bahasa Melayu mempunyai potensi untuk diperluaskan dengan bentuk terbitan.

Kata tunggal boleh terdiri daripada satu suku kata dan dua atau lebih suku kata. Contoh:
satu suku kata – am, dan, roh, skru
dua suku kata – itu, ubi, aku
Berasaskan perlaksanaan tatabahasa, kata tunggal dapat dibahagikan kepada tiga jenis:

a) Kata tunggal yang merupakan unit bebas dan dapat berdiri sendiri sebagai satu perkataan yang bermakna. Contoh : orang, gitar, pen, botol
b) Kata tugas, iaitu unit yang yang tidak dapat berdiri sendiri tetapi memerlukan sekurang-kurangnya satu unit yang bebas untuk melaksanakan tugas nahunya. Contoh : dari, dan, pada, demi, untuk
c) Kata akronim, iaitu perkataan yang diterbitkan melalui proses penggabungan beberapa perkataan dan membentuk satu perkataan yang utuh. Bentuk-bentuk singkatan ini terdiri daripada suku kata atau huruf-huruf tertentu. Contoh :
berdikari – berdiri di atas kaki sendiri
komuter – keretapi berkomputer
kugiran – kumpulan gitar rancak
pawagam – panggung wayang gambar


Kata Terbitan

Kata terbitan ialah bentuk kata yang mengandungi kata dasar yang mendapat atau menerima imbuhan. Kata terbitan ini terbentuk melalui proses pengimbuhan iaitu proses yang menggandingkan imbuhan pada kata dasar dan menghasilkan empat bentuk kata terbitan :
a) Kata Terbitan Berawalan
b) Kata Terbitan Berakhiran
c) Kata Terbitan Berapitan
d) Kata Terbitan Bersisipan

Imbuhan ialah unit-unit bahasa yang ditambahkan pada bentuk-bentuk lain yang menyebabkan perubahan makna nahunya. Imbuhan dapat dibahagikan pada empat jenis :
a) imbuhan awalan
- unsur imbuhan yang ditambahkan pada bahagian hadapan kata dasar.
Contoh : imbuhan ‘ber’ dalam ‘bersukan’  ber+sukan

b) imbuhan akhiran
- unsur imbuhan yang hadir selepas kata dasar
Contoh : imbuhan ‘-an’ dalam ‘makanan’  makan+an
imbuhan ‘-kan’ dalam ‘kembalikan’  kembali+kan

c) imbuhan apitan
- imbuhan yang hadir secara melingkungi kata dasar iaitu dua bahagian imbuhan yang hadir serentak pada awal dan akhir perkataan
Contoh : imbuhan ‘men…..kan’ dalam ‘mendebarkan’  men+debar+kan
imbuhan ‘pe….an’ dalam ‘pendidikan’ pen+didik+an

d) imbuhan sisipan
- unsur imbuhan yang hadir di celahan kata dasar. Bentuk ini tidak lagi produktif dalam pembentukan kata terbitan, iaitu kata terbitan baru tidak lagi dibentuk dengan imbuhan sisipan
Contoh : imbuhan ‘…er…’ dalam ‘keruping’
imbuhan ‘…el…’ dalam ‘telunjuk’

Kata Terbitan Berawalan
Kata terbitan berawalan dapat wujud dalam kata nama terbitan, kata kerja terbitan,dan kata adjektif terbitan. Contoh :

a) Kata Nama : pelari, perakus ( imbuhan ‘pe’)
pembawa, pembuat (‘pem’)
suprakelas, supranasional (‘supra’)

b) Kata Kerja : melawan, mengikat, merasa (‘me’)
berjalan, berganti, berserta (‘ber’)

c) Kata Adjektif : terbesar, tercantik (‘ter’)
secerah, setebal, senipis (‘se’)


Kata Terbitan Berakhiran
Kata terbitan berakhiran dapat wujud dalam kata nama terbitan dan kata kerja terbitan sahaja. Contoh :

a) Kata Nama : pakaian, jahitan, mainan (‘-an’)
sasterawan, angkasawan (‘-wan’)
budiman, seniman (‘-man’)
peragawati, seniwati (‘-wati’)
nasionalisme, patriotisme (‘-isme’)

b) Kata Kerja : gunakan, besarkan, buatkan (‘-kan’)
duduki, turuti, berkati (‘-i’)
Kata Terbitan Berapitan

Kata terbitan berapitan dapat wujud dalam kata nama terbitan, kata kerja terbitan,dan kata adjektif terbitan. Contoh :

a) Kata Nama : pelaksanaan, perasaan (‘pe…an’)
kelainan, kedukaan (‘ke…an’)

b) Kata Kerja : memainkan, melukakan (‘me…kan’)
beralaskan, berlaukan (‘ber…kan’)
diyakini, disirami (‘di…i’)
dipergunakan (‘diper…kan’)
memperdagangkan (‘memper…kan’)
keselesaan (‘ke…an’)

c) Kata Adjektif : kemelayuan (‘ke…an’)
Kata Terbitan Bersispan

Bentuk sisipan tidak lagi produktif dalam pembentukan kata terbitan, yakni kata terbitan baru tidak lagi dibentuk dengan sisipan. Bentuk-bentuk kata sisipan sudah membeku dalam kata terbitan tertentu dan tidak dapat hadir dalam perkataan –perkataan lain kecuali dalam beberapa istilah yang baru dicipta. Kata terbitan bersisipan dapat wujud dalam kata nama terbitan dan kata adjektif terbitan. Contoh :

a) Kata Nama : kelingking, telunjuk (‘..el..’)
keruping, seruling (‘..er..’)

b) Kata Adjektif : kelebak, selerak (‘..el..’)
gemilang, semerbak (‘..em..’)

Bibliografi

Goay Teck Chong,Choo Say Tee dan Zainuddin Ahman. 2008. Teks Pra-U STPM Bahasa Melayu
Kertas 1. Petaling Jaya. Pearson Longman.

Nik Safiah Karim, Farid M. Onn, Hashim Hj, Musa, dan Abdul Hamid Mahmud. 1993. Tatabahasa
Dewan. Kuala Lumpur.Dewan Bahasa dan Pustka.

Siti Hajar Abdul Aziz. 2008. Bahasa Melayu 1.Siri Pendidikan Guru. Kuala Lumpur. Oxford Fajar Sdn. Bhd.

www.tutor.com.my. Portal Pendidikan Utusan.

27 Disember, 2009

Maksud Fonem

Maksud Fonem

Fonem ialah unit bahasa terkecil yang berfungsi. Satu unit ujaran yang bermakna, atau perkataan, terdiri daripada beberapa unit bunyi, misalnya kata malu. Kata ini terdiri daripada empat unit bunyi, iaitu m, a, l, u. Unit-unit bunyi ini dipanggil fonem, iaitu unit terkecil yang berfungsi. Jika m diganti dengan l, maka malu akan bertukar menjadi lalu.

Oleh itu, m dan l adalah unit terkecil yang berfungsi kerana unit itu membezakan maksud ujaran. Dalam BM sesuatu fonem mempunyai ciri fonetik yang sama tetapi berlainan bunyi apabila hadir pada kedudukan yang berbeza. Varian fonem yang berdasarkan kedudukan ini dikenali sebagai alofon.